
PETALING JAYA: Seorang guru di Kuantan rugi RM187,000 setelah terpedaya dengan dakwaan kononnya beliau terbabit dengan sindiket pemerdagangan manusia.
Dilaporkan bahawa mangsa, seorang wanita berusia 36 tahun, dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman pada 10 Mei lalu.
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata, suspek memaklumkan kepada mangsa, selain terbabit dengan sindiket pemerdagangan manusia, terdapat juga waran tangkap terhadapnya.
Katanya, mangsa yang panik hanya menuruti arahan suspek untuk memindahkan semua wang simpanannya ke dalam satu akaun bank.
“Mangsa turut memberikan maklumat penting termasuk kata pengguna dan kata laluan untuk urus niaga dalam talian kepada suspek,” katanya, lapor Harian Metro.
Selain itu, mangsa juga membuat pinjaman peribadi berjumlah RM130,000 bagi tujuan siasatan, seperti yang diarahkan oleh suspek, tambahnya.
Bagaimanapun, mangsa membuat laporan polis apabila sedar dirinya tertipu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, menurut Yahaya.