
PETALING JAYA: Seorang bekas Ahli Parlimen dan seorang ahli ekonomi menggesa agar kerajaan lebih telus berhubung memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara syarikat Malaysia dan rakan kongsinya dari China semasa kunjungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke sana baru-baru ini.
Bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong menegaskan bahawa Malaysia memerlukan pelaburan yang konkrit untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
Kerajaan mesti menegaskan hanya syarikat Malaysia yang mempunyai rekod prestasi kukuh dibenarkan terlibat, katanya.
Bekas pemimpin PKR itu menzahirkan kebimbangan mengenai kekurangan maklumat yang tersedia kepada umum mengenai syarikat Malaysia yang terlibat dalam usaha niaga itu, dan menggesa kerajaan untuk bersikap lebih terbuka.
“Kita perlu butiran. Kita perlu ketelusan daripada kerajaan. Mengapa begitu berahsia?” soalnya.
“Bagi saya, ini membayangkan ada sesuatu yang tidak kena. Jika bercakap tentang pelaburan, jangan sembunyikan apa-apa.
“Jika ingin tandatangani MoU atau jalankan perniagaan dengan syarikat asing, syarikat-syarikat Malaysia (yang terlibat) mesti ada rekod prestasi kukuh. Mereka mewakili negara kita, jadi mereka mesti ada kedudukan yang bagus.”
Wee, sebelum ini ahli DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, mengingatkan Putrajaya agar tidak mengaburi mata rakyat berhubung perkara itu kerana ini membabitkan imej negara.
Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran memuji Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) kerana menghebahkan senarai MoU yang ditandatangani dan syarikat terbabit, tetapi beliau turut menegaskan bahawa masih kurang butiran mengenai kebanyakan perjanjian itu.
“Walaupun kita boleh faham wujudnya keperluan untuk melindungi perniagaan-perniagaan itu, tahap ketelusan yang lebih tinggi dialu-alukan, sekurang-kurangnya bagi menjelaskan sifat perniagaan yang ingin dipromosikan oleh syarikat-syarikat terbabit.
“Tahap ketelusan yang lebih tinggi mengenai sifat projek terlibat akan memastikan wujudnya pemahaman yang lebih baik tentang potensi limpahan positif terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.
Ferlito berharap MoU itu tidak akan kekal sebagai “pengisytiharan niat” semata-mata. Ia mesti dijelmakan menjadi perniagaan sebenar bagi merangsang pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan di sini, katanya.
Pada Isnin, bekas menteri kewangan kedua Johari Ghani menggesa Putrajaya agar menjelaskan proses saringan untuk syarikat-syarikat yang dipilih. Menurutnya, beberapa syarikat terbabit tidak mempunyai rekod prestasi yang elok.
Dalam video yang disiarkan di Twitter dua hari kemudian, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan telah menjalankan proses saringan yang menyeluruh bagi memastikan urus niaga yang dibuat membawa manfaat ekonomi yang ketara kepada Malaysia.
Johari menegaskan bahawa perdana menteri tidak sepatutnya hadir menyaksikan MoU yang ditandatangani oleh syarikat tanpa rekod prestasi yang terbukti, kerana imej negara menjadi taruhan.
Dalam wawancara dengan TV3 pada Khamis, Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, perdana menteri hanya perlu hadir menyaksikan pemeteraian MoU utama, seperti antara Geely Holding Group dan DRB-Hicom Berhad.