
PETALING JAYA: Tawaran kepada Presiden PAS Hadi Awang menyertai kerajaan perpaduan dianggap strategi untuk memecahbelahkan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRN akan datang, kata seorang pemimpin Bersatu.
Ketua Penerangannya, Razali Idris mendakwa parti dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan cuba sedaya upaya memisahkan parti komponen PN.
“Itu strategi beliau (Anwar). Tetapi apabila Hadi ‘sendal’ dengan prinsip, sukar sikit nak masuk,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas pendedahan Hadi semalam bahawa beliau beberapa kali dihubungi “orang tertentu” menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.
Razali berkata, beliau tiada masalah jika Hadi mahu berjumpa dengan Anwar untuk membincangkan kerjasama, selagi tidak melanggar prinsip PN.
“Sebagai ketua parti, memang beliau layak jumpa sesiapa pun…sebab (dari segi) politik, Hadi subjektif dan (tindakannya) penuh demokrasi,” katanya.
Kata Razali, tindakan DAP yang turut menganjurkan kerjasama dengan PAS juga dilihat mempunyai agenda sama, iaitu memecahbelahkan PN.
Sebelum ini, veteran DAP Lim Kit Siang mencadangkan kerajaan perpaduan menawarkan kerjasama dengan PAS pada PRN akan datang.
Awal bulan ini, pertemuan Anwar dengan Ahli Jawatankuasa PAS, Nik Abduh Nik Aziz mencetuskan spekulasi akan wujud kerjasama antara parti itu dan kerajaan perpaduan.
Anwar juga berkata, kerajaan sedia bekerjasama dengan kerajaan Kelantan bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang membelenggu negeri itu beberapa dekad.