
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan arahan dikeluarkan kepada semua ketua bahagian, pengarah pendidikan negeri, pengetua dan guru besar untuk menonton filem biopik “Anwar: The Untold Story”.
Katanya, surat tular di media sosial itu palsu.
“KPM tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan penganjuran tayangan filem seperti yang ditularkan,” katanya dalam kenyataan ringkas.
KPM turut mengingatkan orang ramai menyemak kesahihan berita sebelum menyebarkannya di media sosial.
Terdahulu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff berkongsi surat itu di Facebooknya sambil mempersoalkan kesahihan perkara berkenaan.
Dalam surat yang didakwa dikeluarkan Ketua Pengarah Pendidikan, Pkharuddin Ghazali itu, arahan berkenaan dikatakan bertujuan membuka ruang bagi warga KPM dan murid memahami erti dan konsep Malaysia Madani.
Sebelum ini, tindakan KPM mempelawa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 5 (1) menonton filem Anwar bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengundang kritikan pembangkang.
Tetapi, Penolong Kanan Tingkatan 6, Suziyah Selamat dilaporkan berkata, program itu atas jemputan KPM dan tiada paksaan kepada pelajar Tingkatan 6 sekolah itu kerana ia sebahagian proses pembelajaran di luar bilik darjah.