
PETALING JAYA: Sambutan Hari Gawai pada Khamis ini bagi sebilangan penduduk Rumah Panjang Selunsin, Ulu Wak di Pakan, Bintangor, Sarawak bertukar pilu selepas kediamanan mereka musnah dalam kebakaran.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.36 pagi.
Susulan itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dan BBP Sarikei dikejarkan ke lokasi untuk memberi bantuan.
“Setibanya di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan kebakaran membabitkan sebuah rumah panjang dua tingkat berstruktur separuh kekal.
“Keseluruhan bahagian hadapan iaitu ruai (anjung) dan bilik tidur musnah sepenuhnya manakala bahagian belakang iaitu ruang tengah dan dapur berjaya diselamatkan,” katanya.
Tambahnya, kemusnahan akibat kebakaran adalah sebanyak 80% secara keseluruhan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.