
KUALA LUMPUR: Peruntukan RM20 juta untuk pembangunan litar drag di setiap negeri memadai sebagai “dana awal” bagi menjayakan projek itu, kata bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, sekiranya peruntukan tersebut tidak mencukupi seperti disebut Kementerian Belia dan Sukan (KBS), jumlah dana boleh ditambah pada tahun berikutnya sehingga litar drag dapat dibina di setiap negeri.
“Kerajaan seharusnya melihat secara mendalam tujuan sebenar pembinaan litar drag ini dan bukannya mengambil keputusan untuk tidak meneruskannya dengan memberikan pelbagai alasan.
“Saya faham walaupun Belanjawan 2023 telah dibentangkan, tetapi tidak sempat dibahas dan diluluskan ketika pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia, namun dari segi kepentingan dan memenuhi aspirasi anak muda peruntukan sebanyak RM20 juta itu perlu diteruskan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, tujuan utama pembinaan litar drag untuk menghindarkan golongan muda terlibat budaya tidak sihat seperti perlumbaan haram, samseng jalanan, dan melepak dengan menyediakan tempat untuk mereka beriadah.
“Saya mempunyai keyakinan tinggi bahawa pembinaan litar drag mempunyai impak yang besar dalam menarik lebih ramai tenaga pengajar profesional untuk melatih dan melahirkan bakat baharu tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menggesa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh “turun padang” dan melihat sendiri bagaimana litar drag sedia ada bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai sukan permotoran.
“Ini merupakan tanggungjawab bersama oleh semua pihak terutama KBS agar belia negara terus terpelihara daripada penyakit sosial yang semakin membimbangkan,” katanya.
Semalam, KBS menjelaskan peruntukan RM20 juta oleh kerajaan terdahulu untuk pembangunan litar drag tidak pernah diluluskan Parlimen dan jumlah itu tidak cukup untuk pembinaan litar di setiap negeri.
Penjelasan KBS itu menyusul selepas Ismail sebelum ini menyelar Hannah yang memutuskan tidak meneruskan pembinaan litar drag di setiap negeri.