
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi berkata penahanan seorang pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) kerana dikaitkan kes pecah amanah baru-baru ini, telah merosakkan imej Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah menjelaskan, beliau tidak akan kompromi terhadap pegawai berkenaan atau mana-mana pegawainya terlibat dengan kes pecah amanah atau masalah integriti.
“Hanya nila setitik, persepsi terhadap organisasi akan menjadi negatif.
“Peristiwa yang berlaku di sebuah agensi bawah KKDW di mana seorang pegawai bertaraf pertengahan telah melakukan pecah amanah..
“Saya dan timbalan (menteri) tidak pernah berkompromi untuk mengambil tindakan disiplin dan undang-undang terhadap pegawai berkenaan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perkhidmatan Cemerlang (MPC) dan Apresiasi KKDW 2022.
Sabtu lalu, seorang penolong akauntan Kesedar ditahan selepas dipercayai pecah amanah berjumlah RM24.8 juta sejak lapan tahun lalu.
Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gua Musang.
Semalam Zahid berkata, penolong akauntan Kesedar yang ditahan berkait pecah amanah, menggunakan identiti sembilan individu dalam badan berkanun itu.
Dalam pada itu, Zahid berkata, beliau memandang soal integriti itu mesti ‘diperlihatkan’ bukan hanya ‘didendangkan’.
Beliau menganggap semua pegawai dalam kementerian dan agensi adalah aset kepada kerajaan yang mewakili rakyat terutama di luar bandar.
“Jika ada di kalangan saya sendiri, timbalan atau mana-mana pegawai saya tidak akan pernah berkompromi untuk mengambil tindakan.
“Jika prestasi rendah itu boleh diperbaiki dan ‘engagement’ perlu dilakukan,” katanya.