
PETALING JAYA: Dua kumpulan advokasi menyuarakan keluhan kerana kurangnya perwakilan orang kurang upaya (OKU) di Dewan Negara selepas tempoh penggal Ras Adiba Radzi sebagai senator tamat.
Boleh Space dan SIUMAN berkata hari ini menandakan hari ke-11 masyarakat OKU tidak mempunyai perwakilan di Dewan Negara.
“Sehingga hari ini, tiada sebarang pengumuman daripada kerajaan mengenai proses pelantikan senator mewakili OKU bagi mengisi kekosongan jawatan itu, atau sama ada penggal senator ketiga (Ras Adiba) akan dilanjutkan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Mereka berkata proses penamaan calon, termasuk sebarang pencalonan semula serta penilaian, sepatutnya dimulakan lebih awal untuk memastikan komuniti OKU diwakili di Parlimen pada setiap masa.
Kumpulan itu mendakwa proses penamaan dan penilaian calon senator yang mewakili OKU seolah-olah menjadi rahsia. “Ini bertentangan dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti,” kata mereka.
“Pemilihan dan pelantikan senator yang mewakili masyarakat OKU tidak seharusnya dilakukan semata-mata berdasarkan politik identiti dangkal.”
Mereka menggariskan beberapa langkah yang boleh diambil kerajaan untuk memastikan ketelusan, termasuk meletakkan profil calon di platform serta penyiaran proses pemilihan dan penilaian.
Kerajaan juga harus membentuk jawatankuasa bebas untuk menilai calon dan memastikan sekurang-kurangnya 75% ahlinya adalah OKU. Ahli jawatankuasa juga mesti mengisytiharkan sebarang bentuk konflik kepentingan, kata mereka.
Mereka juga menggesa kerajaan memilih tiga senator untuk mewakili komuniti OKU.