
PETALING JAYA: Rumah kongsi lapan pintu didiami pekerja warga asing di tapak pembinaan perumahan dekat Taman Bertam Impian, Melaka musnah dalam kebakaran, petang semalam.
Bagaimanapun, semua 100 buruh binaan warga Bangladesh dan Indonesia terselamat dalam kejadian 6 petang itu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Mohamed Azuani Mat Yusuf, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.14 petang sebelum 14 anggota dari BBP Tangga Batu, Cheng dan Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.
“Selain rumah kongsi, turut terbakar stor menyimpan kabel dan petrol yang berada di tapak itu,” katanya menurut Sinar Harian.
Katanya, bomba turut berdepan cabaran pemadaman kerana sumber air yang terhad memandangkan tapak pembinaan baru 30% siap sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya jam 7.31 malam.
Sementara itu, sepasang suami isteri warga Indonesia sedih apabila wang simpanan mereka berdua dianggarkan berjumlah RM5,000 hangus terbakar.
Herman, 46, berkata, wang berkenaan hasil simpanan dia dan isterinya sejak beberapa bulan lalu untuk menyara anak tunggal mereka di kampung yang masih bersekolah asrama.
“Apa pun kami suami isteri reda, walaupun mengalami kerugian namun bersyukur kami berdua selamat,” katanya.