
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Julai untuk mendengar permohonan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa ke atasnya.
Hakim Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes dihadiri pihak pendakwaan dan peguam mewakili Muhyiddin hari ini.
Hakim juga mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan hujahan bertulis sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh pendengaran kes.
Pada 19 April, pengerusi Bersatu itu memfailkan permohonan agar mahkamah membatalkan tuduhan dan membebaskannya.
Dia juga mahu semua prosiding di Mahkamah Sesyen, di mana dia didakwa, ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan pembatalan tuduhan tersebut.
Dalam permohonan itu, Muhyiddin berkata, tuduhan tersebut tidak menunjukkan sebarang salah laku mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Katanya, tuduhan itu juga merupakan satu penyalahgunaan proses dan tidak mempunyai butiran mengenai bagaimana beliau menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021.
Tuduhan-tuduhan berkenaan, berkait program Jana Wibawa, mendakwa Muhyiddin berusaha mendapatkan RM232.5 juta untuk Bersatu.
Pada 10 Mac, Muhyiddin mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini di hadapan Hakim Azura Alwi.
Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), didakwa melakukan empat kesalahan salah guna kuasa di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya antara 8 Feb dan 20 Ogos 2021.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan rasuah RM200,000 daripada sebuah syarikat untuk partinya.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menerima RM1 juta untuk partinya daripada Nepturis Sdn Bhd.
Tuduhan ketiga mendakwa Muhyiddin menerima RM19.5 juta daripada Mamfor Sdn Bhd.
Dia juga didakwa menerima RM12 juta daripada ahli perniagaan Azman Yusoff.
Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.