
PETALING JAYA: Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd menafikan laporan syarikat itu akan menutup operasi beberapa kilangnya di Malaysia.
Panasonic berkata, pihak syarikat hanya menutup dua jabatan pembuatan produk di kilang Shah Alam 1 (SA1) selepas melengkapkan proses rasionalisasi dan penstrukturan semula perniagaan, pada 1 Mac.
“Tiada kilang atau jabatan lain selain yang dinyatakan terkesan,” katanya dalam kenyataan.
Gergasi pembuatan itu, berkata ada pekerja terkesan susulan penutupan jabatan ditawar skim pemisahan secara bersama (MSS) dengan sebahagian besar mereka secara sukarela memilih pilihan ditawarkan.
“Pekerja memilih MSS menerima pakej pampasan adil dan saksama yang mana lebih tinggi daripada norma industri.
“Baki pekerja tidak memilih MSS, jabatan sumber manusia kami menyediakan mereka tawaran dipindahkan ke jabatan relevan dalam Panasonic Malaysia, berdasarkan kemahiran dan potensi untuk berkembang.”
Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan kilang Panasonic SA1 akan ditutup, manakala kilangnya di Melaka juga akan dihentikan operasi penghujung tahun ini.
Portal berita itu melaporkan tindakan itu kesan kekalahan dua saman terhadap Panasonic tahun lalu melibatkan bekas pembekal, bekas pengarah eksekutif, Chen Ah Huat dan pekerja.
Malaysiakini memetik sumber sebagai berkata, Chen diarah meninggalkan syarikat pada 2013, selain kontrak 15 pengurus lain juga ditamatkan.
Bagaimanapun, Panasonic berkata, dua saman difailkan pada 2016 dan 2017, telah “berjaya diselesaikan”.
“Saman diperkatakan itu tidak berkait dengan pelaksanaan rasionalisasi dan penstrukturan yang selesai pada 31 Mac,” katanya.