
PETALING JAYA: Kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera membuka permohonan undi pos menjelang PRN di enam negeri.
Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, SPR tidak perlu menunggu enam negeri itu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuka permohonan undi pos, khasnya bagi warganegara Malaysia di luar negara.
“Pembukaan permohonan undi pos lebih awal akan memberi lebih banyak masa kepada pengundi, justeru lebih ramai yang layak akan dapat memohon sebagai pengundi dalam PRN nanti.
“SPR perlu sentiasa ingat menjadi tanggungjawab Perlembagaan untuk mereka memastikan setiap rakyat yang layak mengundi diberikan akses pengundian mencukupi bagi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.
Bersih berkata, kerajaan perlu mengambil iktibar daripada PRU15 yang menyaksikan lonjakan 600% pengundi pos menetap di luar negara, daripada 7,979 orang pada PRU14 kepada 48,109 orang.
Ia turut mencadangkan pengundi pos kategori 1C, iaitu agensi atau organisasi dibenarkan SPR, dengan memperluaskan kategori itu kepada petugas kesihatan dan keselamatan di sektor swasta yang bekerja pada hari pengundian.
“Kejadian seperti petugas pilihan raya seperti kerani pengundian dan ketua tempat mengundi tidak menjadi pengundi pos juga tidak seharusnya berulang.
“Pada PRU15, pasukan pemantau Bersih menerima banyak aduan kerani dan ketua tempat mengundi tidak didaftarkan sebagai pengundi pos, walaupun mereka telah memohon dan akhirnya dinafikan hak untuk mengundi dalam pilihan raya kerana terpaksa bertugas.”