
PETALING JAYA: Projek rintis untuk mendaftarkan pekerja asing di ladang kelapa sawit di bawah syarikat milik kerajaan negeri, Sawit Kinabalu mendapati separuh daripada pekerja asing itu tidak mempunyai dokumen lengkap, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan.
Menurut Utusan Borneo, Kitingan berkata seramai 14,855 pekerja asing didaftarkan di bawah projek mendaftar pekerja di ladang yang dimiliki Sawit Kinabalu.
Beliau berkata proses pendaftaran meliputi semua pekerja asing, termasuk mereka yang memegang kad IMM13 dan Surat Burung-Burung, atau sijil banci.
“Separuh daripada jumlah itu adalah pekerja asing yang sah tetapi separuh lagi bekerja secara haram di sini dan juga mempunyai tanggungan,” katanya.
Kitingan berkata hasil projek rintis ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri semasa mesyuarat pada 14 Jun, sebelum negeri ini memulakan usaha pendaftaran seterusnya.
Beliau mengharapkan projek pengumpulan data seterusnya akan selesai menjelang akhir tahun.
Katanya satu proses pengumpulan data yang berasingan akan diadakan untuk komuniti Bajau Laut, yang tidak mempunyai negara.
Sebagai subkumpulan orang Sama-Bajau, Bajau Laut secara tradisinya berasal dari pulau-pulau di kepulauan Sulu di Filipina.
Kitingan berkata bahawa projek rintis itu berjalan lancar dengan majikan dan pekerja memberikan kerjasama mereka. Katanya proses pengumpulan data ini tidak melibatkan agensi penguatkuasaan.
Matlamat pendaftaran ini adalah untuk menentukan jumlah sebenar pekerja asing di Sabah, termasuk mereka yang tidak mempunyai dokumen yang sah atau yang sudah tamat tempoh.