
PETALING JAYA: Mangsa dan waris mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada Disember lepas membidas kerajaan kerana tidak memaklumkan mereka mengenai siasatan yang dijalankan berikutan tragedi itu.
Dalam kenyataan bersama, mereka menegaskan, sudah enam bulan sejak kejadian tanah runtuh itu berlaku pada 16 Dis, tetapi kerajaan masih belum mengeluarkan laporan mengenainya.
Mereka berkata, mereka telah memohon kepada pejabat menteri besar Selangor dan tiga kementerian persekutuan berkaitan, iaitu Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kerja Raya, dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, untuk mendapatkan laporan itu, tetapi tidak berjaya.
“Kami telah buat seperti yang diarahkan, tetapi tidak terima sebarang berita setakat ini,” kata mereka.
“Sudahkah kerajaan lupa tentang kejadian Batang Kali?”
Mereka turut meminta tindakan yang wajar diambil terhadap pihak yang dikenal pasti bertanggungjawab atas kejadian itu, menurut penemuan siasatan.

Kegagalan berbuat demikian, kata mereka, akan menyebabkan kecuaian terus berlaku dan membawa risiko kepada mereka yang berkhemah di tapak itu pada masa akan datang.
“Kami tidak mahu sesiapa pun lalui tragedi yang sama,” kata mereka.
Kejadian awal pagi pada 16 Dis itu meragut 31 nyawa termasuk 13 kanak-kanak.
Seramai 61 orang lagi yang terperangkap dalam tanah runtuh diselamatkan semasa operasi mencari dan menyelamat di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm itu.
Mangsa-mangsa terdiri daripada ibu bapa, kanak-kanak dan kakitangan daripada sebuah sekolah vernakular di Kuala Lumpur.
Pada Januari, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, laporan awal mengenai kejadian itu sudah dibaca oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pada bulan seterusnya, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri bersedia mengeluarkan laporan penuh mengenai kejadian itu jika diminta ahli keluarga mangsa.
Laporan itu disediakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains, katanya.