
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu murid dilibatkan dalam kebersihan di sekolah termasuk mencuci tandas.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata KPM akan memperincikan cadangan tersebut dan ruang pelaksanaan yang memberikan impak dan nilai tambah kepada murid secara keseluruhan.
“Saya sambut baik saranan perdana menteri agar murid dilibatkan dalam siri pendidikan kebersihan di Sekolah.
“Sesi turun padang dan lawatan kerja di sekolah juga turut melibatkan semakan status kebersihan dan penyelenggaraan tandas,” katanya di Facebook.
Terdahulu Anwar sekali lagi menegur mengenai kebanyakan tandas di sekolah di negara ini yang tidak terjaga dan dibaik pulih sebaiknya.
Anwar yang pernah menjadi menteri pendidikan pada 1986 turut mencadangkan supaya murid didik untuk menjaga dan membersihkan kemudahan itu.
“Dahulu sewaktu saya menteri pendidikan, saya arahkan semua sekolah buat giliran bersihkan tandas.
“Ada ibu bapa profesional, golongan atasan hantar telegram kepada saya (membantah); menteri, saya hantar anak saya belajar di sekolah bukan untuk mencuci tandas.
“Saya kata arahan tersebut bertujuan untuk mendidik murid-murid tentang kebersihan serta menghormati orang lain termasuk pencuci tandas,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan D’Anjung Selera Madani di Bandar Tun Razak.