
PETALING JAYA: Khaled Nordin berkata bukan kewajipan untuk sayap Umno menjemput parti lain ke perhimpunan agungnya.
“Itu tak jadi masalah. Bukannya wajib menjemput orang lain.
“Sebab PAU (Perhimpunan Agung Umno) peringkat pusat sudah jemput. Mungkin sayap tak perlu,” kata naib presiden Umno itu menurut Sinar Harian.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh menegaskan keputusan tidak menjemput wakil mana-mana parti ke Perhimpunan Pemuda Umno sempena PAU 2023 adalah keputusan diambil bersama semua barisan exco dan ketua Pemuda Umno Negeri.
Susulan itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching, berkata partinya memahami dan tidak “berkecil hati” terhadap keputusan berkenaan.
Katanya, setiap sayap parti perlu mempunyai pandangan, pendekatan dan kaedah berbeza yang perlu difahami dalam gabungan kerajaan perpaduan.
PAU 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula 7 hingga 10 Jun ini bakal mencipta sejarah tersendiri apabila ia akan turut dihadiri pimpinan tertinggi DAP dan PKR.