
PETALING JAYA: Polis memburu empat lelaki bagi membantu siasatan kes seorang gelandangan parah dipukul yang dilaporkan berlaku di jambatan Pelabuhan Klang dan Pasar Raya Billion Lebuh Beringin dekat Klang.
Ketua Polis Klang Selatan, Cha Hoong Fong, berkata pihaknya terkesan dua video tular berdurasi 24 saat di Twitter, semalam, memaparkan empat lelaki tempatan menaiki kereta dan memukul seorang gelandangan menggunakan besi pemukul besbol.
Katanya, pada 12.02 tengah malam tadi Balai Polis Pelabuhan Klang juga menerima laporan daripada seorang wanita tempatan yang memaklumkan melihat video itu di Instagram pada 3.30 petang semalam.
“Polis menjalankan usaha mengesan mangsa bagi mengetahui kejadian sebenar, pada masa sama usaha mengesan suspek giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.