
KUALA LUMPUR: Semua mesyuarat antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri menjelang PRN akan datang telah selesai dan hasil perbincangan sudah dikumpul untuk memuktamadkan peruntukan kerusi, kata Pengerusi BN Zahid Hamidi.
“Harap-harap kita dapat selesaikan peruntukan kerusi sebelum DUN masing-masing dibubarkan.
“Sebaik sahaja pilihan raya dipanggil, kita akan memutuskan calon daripada setiap parti (yang berkaitan),” kata Zahid ketika ditanya mengenai persiapan gabungannya untuk PRN akan datang.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan ibu pejabat baharu bagi bahagian Batu parti itu di Jalan Batu Muda, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani.
PRN untuk Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu akan dijadualkan dalam tempoh tiga bulan akan datang kerana DUN di negeri itu akan tamat penggal tidak lama lagi.
Ketika ditanya mengenai jumlah calon daripada parti komponen BN MCA dan MIC, beliau mengulangi bahawa rundingan kerusi berlaku antara gabungan, bukan parti.
“Ini adalah keputusan bersama antara PH dan BN,” kata Zahid.
Beliau berkata BN akan mengutamakan calon yang “boleh dimenangi, disenangi dan boleh diterima”, dengan pilihan raya berfungsi sebagai ujian sebenar pertama sokongan kerajaan baharu.
“Walaupun pilihan raya hanya untuk kerajaan negeri, keputusannya akan menjadi manifestasi penerimaan rakyat terhadap kerajaan kita.”
Mengenai keputusan Pemuda Umno untuk tidak menjemput wakil parti lain ke perhimpunan agung Umno akan datang, Zahid berkata adalah penting untuk diingat bahawa barisan tertinggi parti itu sudah menjemput pemimpin lain daripada kerajaan perpaduan ke majlis itu, walaupun tidak melibatkan sayap parti.
Ini selepas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh berkata keputusan kolektif telah dibuat oleh semua ketua pemuda dan exco negeri untuk tidak menjemput rakan sejawatan daripada parti kerajaan lain ke persidangannya pada perhimpunan agung itu.