
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan polis sudah membuka kertas siasatan berkait dakwaan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor dan kini sedang menunggu tindakan susulan oleh peguam negara.
Pada 29 Mei lepas, Sanusi dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.
“Kenyataan menteri besar Kedah tidak bertanggungjawab dan pihak polis telah mulakan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan mengambil tindakan sesuai agar menghindari kenyataan berterusan yang melanggar prinsip perlembagaan dan undang-undang.
“Sebahagian laporan telah dikemukakan kepada peguam negara dan sedang menunggu untuk diambil tindakan sesuai,” katanya di Dewan Rakyat.
“Ini termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.”
Suasana pada persidangan itu menjadi ‘panas’ hampir 10 minit apabila soalan berkenaan mendapat perhatian Ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan ia dibawa ke Dewan Rakyat.
Anwar menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta penjelasan memandangkan isu itu telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.
Anwar turut mempersoalkan tindakan melampau Sanusi menjelang PRN.
“Kenapa perkara ini dibangkitkan semasa PRN, apakah kerana nak gelojoh kuasa pilihan raya kita korbankan prinsip perlembagaan dan timbulkan huru hara?
“Kita sudah merdeka lebih enam dekad, parti-parti memerintah… Umno, BN, PAS-PH dan PAS-PN… tak pernah ditimbulkan melainkan oleh seorang ketua yang tidak bertanggungjawab sanggup melanggar undang-undang dan prinsip perlembagaan,” kata Anwar merujuk kepada Sanusi.
Menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang mempersoalkan bahawa ia turut dibincangkan oleh ahli akademik dan disuarakan dulu oleh ahli Umno, Anwar berkata tiada halangan untuk mana-mana pihak mengkajinya namun ia tidak boleh dibahaskan secara terbuka seperti dilakukan menteri besar Kedah.
Menurutnya, tindakan itu akan memberi implikasi besar kepada kedaulatan negara, dan dikhuatiri negara lain akan menuntut perkara sama berdasarkan sejarah lampau.
“Kalau Alor Setar nak buat kajian saya tiada masalah, boleh buat kajian… ini tidak boleh dalam keadaan negara sudah merdeka dan berdaulat terus dibahaskan kerana ia akan ada implikasi besar dengan negara-negara lain yang mungkin akan tuntut.
“Apa kata sekarang ini berdasarkan sikap melampau beberapa tokoh (kemudian) kerajaan Siam bawa balik perjanjian Kedah, Perlis dan Siam.. itu kita akan hadapi beberapa masalah.
“Selama ini tidak dibuka perbincangan itu, dan tidak perlu membuka perbincangan yang akan menikam kita kembali,” tegasnya.
Tambahnya, kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli parti termasuk dari kerajaan sekiranya kenyataan itu melanggar prinsip perlembagaan dan undang-undang.
Kedudukan Pulau Pinang jelas sebagai negeri yang berasingan daripada Kedah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.