
GEORGE TOWN: Dakwaan berulang kali Menteri Besar Sanusi Nor bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah sekali lagi mencetuskan kontroversi, menerima pujian daripada penyokongnya dan mendapat cemuhan rakyat Pulau Pinang.
Pemimpin Pulau Pinang telah pun memberikan maklum balas dengan menekankan kedudukannya yang setara negeri lain dalam Persekutuan sambil mengecam tuntutan Sanusi dan menyifatkannya penghinaan terhadap kedaulatan negeri.
FMT melihat bagaimana tuntutan ini berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Tuntutan Sanusi
Sanusi pertama kali membuat dakwaan itu tiga tahun lalu, selepas Pulau Pinang meminta Kedah melindungi hutan tadahan airnya. Syarikat air Pulau Pinang, PBAPP, meminta pembalakan dihentikan di Hutan Simpan Ulu Muda bagi menjaga kawasan tadahan air daripada diceroboh.
Kira-kira 80% bekalan air mentah Pulau Pinang berasal dari Sungai Muda, yang berasal dari hulu hutan berkenaan.
Kedah dan Perlis juga bergantung kepada sungai yang sama untuk mendapatkan air, masing-masing menyumbang 96% dan 70% daripada bekalan air mereka. Sungai ini memanfaatkan 4.2 juta penduduk di tiga negeri.
Sanusi bertindak balas dengan memberitahu Pulau Pinang supaya tidak mencampuri hal ehwal Kedah dan menuduh negeri itu mengganggu kedaulatan Kedah selepas PBAPP membuat beberapa lawatan tapak ke Hutan Simpan Ulu Muda.
Beliau kemudiannya menuntut Pulau Pinang membayar RM50 juta setahun untuk air yang diambil dari Sungai Muda, dengan mendakwa PBAPP mengaut untung besar dengan mengorbankan Kedah. Pulau Pinang menolak dan berkata ia mempunyai hak untuk mengambil air dari wilayahnya sendiri.
Sanusi bertindak balas dengan menuntut RM100 juta setahun sebagai bayaran pajakan, dengan mendakwa Pulau Pinang dan Seberang Perai “dipajak” dari Kedah.
Tuntutan ini, yang dibuat pada 2021 dan 2022, muncul semula baru-baru ini apabila menteri besar membangkitan semula perdebatan berkenaan.
Sejarah
Pada tahun 1786, Francis Light dari Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC) tiba di Pulau Pinang selepas mencapai persetujuan dengan Sultan Abdullah Mukarram Shah dari Kedah.
Pada masa itu, pulau itu adalah hutan dengan keluasan hampir 277 kilometer persegi dan jumlah penduduk seramai 58 orang. Pada tahun yang sama, Siam mengalahkan Kesultanan Patani dan menuntut semula Kedah sebagai jajahan takluknya. Sultan Abdullah telah bantuan ketenteraan daripada EIC, tetapi ditolak.
Pada tahun 1791, EIC telah menolak percubaan Sultan untuk mengambil Pulau Pinang secara paksa.
Menurut ahli sejarah Ranjit Singh Malhi, Perjanjian Persahabatan dan Keamanan 1791 kemudian ditandatangani.
Perjanjian ini membenarkan EIC menduduki Pulau Pinang, membayar jumlah tahunan 6,000 dolar Sepanyol selagi syarikat itu berada di sana.
Menurut Ranjit, kecuali Province Wellesley (Seberang Perai), pulau itu tidak diserahkan secara kekal, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Pada tahun 1800, Perjanjian Persahabatan dan Perikatan telah ditandatangani, dengan British meningkatkan jumlah bayaran tahunan kepada 10,000 dolar Sepanyol.
Walau bagaimanapun, perjanjian ini hilang kepentingannya pada tahun 1826, apabila Pulau Pinang, Melaka dan Singapura membentuk Negeri-Negeri Selat, yang ditadbir oleh kerajaan (British) India.
Pada 1867, penempatan itu diletakkan di bawah kawalan langsung London sebagai tanah jajahan, kata Ranjit.
Selepas Merdeka, kerajaan persekutuan membayar Kedah honorarium tahunan sebanyak RM10,000 di bawah perjanjian itu, yang dinaikkan kepada RM10,010,000 pada 2018.
Perlembagaan
Status Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat termaktub dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 71(1), dibaca bersama Jadual Kelapan, menjamin setiap negeri, termasuk Pulau Pinang, mempunyai perlembagaan sendiri.
Pada tahun 1985, kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang bersetuju untuk menukar sempadan utara mereka di Seberang Perai kepada garis tengah alur Sungai Muda.
Sebelum ini, keseluruhan sungai yang mengalir ke Seberang Perai adalah di bawah bidang kuasa Pulau Pinang.
Satu akta Parlimen telah diluluskan, memaksa Pulau Pinang menyerahkan sebahagian daripada sungai itu kepada Kedah.
Peguam Andrew Khoo berkata tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang tidak mempunyai asas, dan status quo perlu dipertahankan.
Beliau berkata cadangan menteri besar itu adalah “tak masuk akal dan berbahaya”.
“Ia tak masuk akal kerana ia melanggar semua rekod undang-undang dan perlembagaan yang diketahui.
“Berbahaya, kerana ia akan mendorong revisionisme sejarah dan geografi oleh negeri dan kumpulan berkepentingan lain yang akan menghancurkan teras kenegaraan kita.
Katanya, ia adalah resepi kemusnahan negara apabila semuanya semata- mata mahu menjadi ‘jaguh kampung’.
Politik
Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata serangan berulang Sanusi ke atas Pulau Pinang adalah sebahagian daripada strategi untuk memenangi pengundi Melayu.
Walau bagaimanapun, dari semasa ke semasa, retorik ini telah menjengkelkan orang Kedah, yang kebanyakannya bekerja dan mendapat manfaat daripada ekonomi Pulau Pinang.
“Tiada bukti orang Kedah suka taktiknya. Sanusi, sebaliknya, sangat berkonfrontasi. Dia didorong untuk mempopularkan dirinya,” katanya.
“Jika beliau menggunakan keputusan pilihan raya umum lalu untuk mendapat populariti, beliau silap. Dinamik telah berubah sejak kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil alih,” katanya.
Azizuddin berkata matlamat jangka panjang Sanusi, selain populariti, nampaknya adalah untuk memperkukuhkan kedudukan dalam PAS.
“Sasaran jangka panjangnya adalah untuk menjadi timbalan presiden parti,” katanya.