
PETALING JAYA: Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping hari ini atas dakwaan cuai membiarkan anak perempuannya termakan biskut mengandungi ganja, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Firdaus Hassim, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim, menurut Sinar Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai seorang bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun tujuh bulan didapati bertindak mendedahkan dan secara cuai membiarkan kanak-kanak itu memakan biskut buatannya yang mengandungi dadah jenis ganja yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan kesihatan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bagan Lawin, Gerik sekitar 7.30 petang pada 29 Mei lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Mohd Waffy tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh berikutan ia melibatkan kesalahan serius selain mengambil kira kanak-kanak itu tinggal bersamanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan kes disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada 6 Julai depan bagi menunggu laporan perubatan kanak-kanak dan lantikan peguam.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas, pening kepala, dan loya selepas termakan biskut disyaki dicampur ganja dibuat oleh bapanya.