
PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan memperhalusi cadangan melanjutkan tempoh diskaun bayaran balik pinjaman selepas ia mencapai sasaran kutipan RM1 bilion.
Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim, berkata pihaknya mengambil maklum cadangan tempoh pemberian insentif diskaun itu dilanjutkan bagi memberi peluang kepada peminjam yang tidak sempat membuat bayaran balik sebelum ini.
Beliau berkata, bagaimanapun ia akan diperhalusi bersama Kementerian Kewangan kerana melibatkan peruntukan tinggi kerajaan.
Katanya, insentif pemberian diskaun yang bermula 1 Mac hingga 31 Mei lalu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peminjam sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada golongan berkenaan.
“Tawaran diskaun itu bermula 1 Mac lalu mencakupi empat kategori iaitu pemberian diskaun 20% atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman dan diskaun 15% untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang.
“Selain itu, PTPTN juga menawarkan diskaun 15% untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual bayaran balik dan diskaun 5% untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Norliza berkata, PTPTN selaku agensi bawah Kementerian Pendidikan Tinggi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengumumkan pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman kepada peminjam yang berakhir 31 Mei lalu.