
IPOH: Menteri Besar Perak Saarani Mohamad sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan laporan dibuat Ketua Pembangkang Razman Zakaria berhubung isu tanah rizab Melayu.
Saarani berkata, SPRM pernah menjalankan siasatan beberapa kali sebelum ini berhubung isu sama, dan pernah mengambil fail berkaitan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak.
“Jadi, kalau ada laporan baharu dibuat oleh ketua pembangkang terpulanglah kepada SPRM sebab kita tidak ada masalah. Tidak ada apa benda nak kita sembunyikan dan tertakluk kepada siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis akad penyerahan 400 lembu korban sumbangan lima syarikat berkaitan kerajaan negeri bernilai RM2.92 juta Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Kira-kira 10 pagi tadi, Razman tiba di pejabat SPRM Ipoh untuk membuat aduan berkaitan pengurusan tanah rizab di Perak, dan ditemu bual selama hampir dua jam.
Pengarah SPRM Perak Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan berkenaan.