
KUALA LUMPUR: Keuntungan selepas cukai (PAT) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) naik 2% kepada RM23.8 bilion menjelang suku pertama tahun kewangan 2023 berbanding tempoh yang sama setahun sebelum ini.
Peningkatan dalam PAT kali ini telah disumbangkan oleh pendapatan faedah yang lebih baik dan cukai yang agak rendah sejajar dengan penurunan keuntungan yang diimbangi sebahagiannya oleh pendapatan yang lebih rendah sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA).
Kumpulan itu mencatatkan EBITDA sebanyak RM38.6 bilion, lebih rendah sebanyak RM1.8 bilion disebabkan oleh kos produk yang lebih tinggi serta perbelanjaan mengurus yang sebahagiannya telah diketepikan oleh peningkatan hasil yang agak memberangsangkan.
Perolehan kumpulan bagi suku dalam tinjauan menokok 16% kepada RM90.4 bilion berbanding suku yang sama pada 2022 selepas disokong oleh peningkatan volum jualan dan impak yang menggalakkan daripada pertukaran asing.
“Ini sebahagiannya diimbangi oleh harga realisasi purata yang lebih rendah daripada produk utama,” katanya dalam satu kenyataan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas akan kekal berhati-hati, memberi tumpuan kepada pengurusan kewangan berhemat termasuk membuat pelaburan bagi mengukuhkan perniagaan terasnya dan mengembangkan portfolio perniagaannya.
“Pada setiap masa, kami akan menyasarkan untuk meningkatkan nilai bagi pemegang kepentingan serta rakan kongsi kami, dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia dan masyarakat di mana sahaja kami beroperasi,” katanya.
Sementara itu, perbelanjaan modal Petronas (capex) berjumlah RM10.5 bilion, disumbangkan oleh projek huluan dan gas.
Capex domestik bertambah sebanyak 44% berbanding tempoh yang sama tahun sebelum ini terutamanya untuk pelaburan dalam Projek Gas Asli Cecair Terapung (LNG) Berhampiran Pesisir Petronas di Sabah dan Pembangunan Medan Gas Kasawari di Sarawak.
Jumlah aset Petronas mengukuh kepada RM713.6 bilion pada 31 Mac 2023 daripada RM710.6 bilion yang direkodkan semasa 31 Dis 2022 selepas disumbangkan oleh tunai yang lebih tinggi dan setara tunai yang sebahagiannya diimbangi oleh penghutang yang lebih rendah.
Aliran tunai daripada aktiviti operasi berkurangan sebanyak RM2.3 bilion sejajar dengan tunai yang lebih rendah yang dijana daripada peningkatan operasi dan cukai yang dibayar berkaitan dengan tahun taksiran sebelumnya yang sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan faedah yang lebih tinggi yang diterima.