
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) berkata ketiadaan dokumen perjanjian khusus bagi perolehan mesin ventilator ketika negara mengurus Covid-19 mungkin punca pihak pembekal menyediakan unit yang tidak memenuhi spesifikasi.
Timbalan Menteri Lukanisman Awang Sauni melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan Perbendaharaan, KKM tidak perlu menyediakan dokumen perjanjian bagi perolehan secara darurat.
Bagaimanapun, pegawai-pegawai KKM di hospital dan fasiliti kementerian telah memberikan spesifikasi ventilator yang bersesuaian, dan berharap pembekal dapat menyediakan ventilator tersebut.
“Berdasarkan Garis Panduan Perbelanjaan Darurat (AP55) dan Perolehan Darurat (AP173.2), tiada keperluan KKM untuk untuk menyediakan sebarang dokumen perjanjian bagi perolehan secara darurat.
“Ini juga merupakan salah satu punca mengapa mungkin pembekal, berdasarkan keadaan darurat tersebut, mengambil kesempatan untuk menyediakan peralatan ventilator yang tidak memenuhi spesifikasi yang kita pohon,” katanya ketika menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanyakan adakah pembelian dibuat tanpa usul periksa atau pemeriksaan ke atas ventilator.
“Sememangnya dalam keadaan darurat memang terhad untuk lihat peralatan itu secara fizikal,” kata Lukanisman.
Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid pada Februari melaporkan sebanyak 93 daripada 136 unit ventilaor yang dibekalkan syarikat kepada fasiliti KKM antara 2020 hingga April 2022 ketika pengurusan Covid-19 tidak dapat digunakan, menyebabkan kerugian dianggarkan sejumlah RM13.07 juta.
Semalam, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) menyoal mengenai bekalan peralatan yang rosak disediakan semasa darurat Covid-19 dan KKM didakwa tidak dapat menjalankan dokumentasi yang betul dengan pembekalnya.
Puah menyatakan sebanyak 136 unit ventilator telah dibeli oleh KKM tetapi hanya 28 daripadanya boleh digunakan manakala baki 108 alat bantuan pernafasan itu mengalami kerosakan.
Berhubung unit ventilaor yang tidak digunakan, Lukanisman berkata KKM bersetuju supaya dilaksanakan penggantian 104 unit berdasarkan kos penyelenggaraan.
Manakala, unit yang tidak boleh dinaik taraf dicadang untuk dilupus kepada pusat latihan teknikal bagi tujuan kemahiran dan latihan, bagi mengelak pembaziran.