
PETALING JAYA: Laporan akhir siasatan nahas pesawat Sabah Air yang dikenali tragedi “Double Six” pada 1976 tidak menyebut sebarang rekod rakaman kotak hitam kerana pemasangannya tidak diperlukan ketika itu, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
Loke menjawab soalan Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) yang bertanya mengapa laporan itu tidak menyebut rekod percakapan dari kotak hitam pesawat.
“Laporan akhir siasatan tersebut tidak menyebut mengenai rekod daripada ‘Black Box / Flight Recorder’ pesawat disebabkan pemasangan ‘Black Box / Flight Recorder’ ke atas pesawat Model GAF N-22B NOMAD adalah tidak diperlukan pada masa itu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Loke juga berkata tidak ada keperluan bagi kerajaan ketika itu untuk menghebahkan penemuan itu kerana peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada masa itu menyatakan bahawa tidak perlu berbuat demikian.
“Tiada keperluan untuk kerajaan menyiarkan laporan akhir kepada umum.
“Bagaimanapun, perkara ini dipinda dalam ‘Tenth Edition Annex 13’ pada Julai 2010 di mana laporan penyiasatan kemalangan udara hendaklah disediakan dan disiarkan kepada umum dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh kemalangan atau insiden berlaku,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata sebarang bentuk pampasan kepada waris mangsa yang terkorban dalam nahas 1976 mesti diselesaikan melalui proses undang-undang sedia ada.
Dalam tragedi pada 6 Jun 1976 meragut nyawa ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens yang baru 53 hari mengangkat sumpah meninggal dunia bersama 10 yang lain termasuk menteri negeri apabila pesawat GAF Nomad dinaiki terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.
Mereka yang maut termasuk menteri negeri Salleh Sulong, Chong Thien Vun dan Peter Mojuntin.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan sekali lagi membangkitkan persoalan mengenai kotak hitam pesawat Nomad yang terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Beliau berkata, peralatan penting berkenaan yang mesti ada dalam setiap kapal terbang termasuk pesawat Nomad buatan Australia itu.
Siasatan terhadap nahas itu dilancarkan oleh pihak berkuasa Malaysia, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia, tetapi penemuan mereka tidak didedahkan kepada umum sehingga April lalu.
Laporan pihak berkuasa Malaysia berkata tiada bukti sabotaj, kebakaran atau letupan yang menjadi punca dalam nahas itu.