
KUALA LUMPUR: Satu usul dikemukakan terhadap seorang wakil rakyat DAP yang didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat berkait perolehan ventilator ketika negara mengurus Covid-19 dan Dr Mahathir Mohamad.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mahu RSN Rayer (PH-Jelutong) dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung ucapannya di Dewan Rakyat semalam, menurut usul yang dihantar kepada kepada pejabat speaker pagi tadi.
Pemimpin Bersatu itu mendakwa Rayer membuat kenyataan mengelirukan apabila berkata ketirisan yang dikatakan berlaku dalam perolehan ventilator oleh Kementerian Kesihatan (KKM) disebabkan oleh tindakan Muhyiddin yang mengisytiharkan darurat.
Pengisytiharan itu didakwa menyebabkan KKM tidak dapat berbincang tentang pemerolehan ventilator itu, kata Wan Fayhsal memetik hansard.
“Ini tidak tepat kerana punca kepada ketirisan perolehan ventilator bukan salah darurat, tetapi salah tatakelola KKM. Jadi kalau ada masalah, siasatlah kementerian,” katanya di Dewan Rakyat.
Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid pada Februari melaporkan sebanyak 93 daripada 136 unit ventilaor yang dibekalkan syarikat kepada fasiliti KKM antara 2020 hingga April 2022 ketika pengurusan Covid-19 tidak dapat digunakan, menyebabkan kerugian dianggarkan sejumlah RM13.07 juta.
Dalam pada itu, Wan Fayhsal mahu Rayer menarik balik kenyataannya mengenai Mahathir, yang baru-baru ini dirakam percakapan dalam siasatan polis ke atas kenyataan yang dikatakan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja.
Beliau mendakwa Rayer cuba mengelirukan Dewan Rakyat apabila ‘merayu’ bekas perdana menteri itu hentikan serangan terhadap kerabat diraja.
“Mahathir tidak terbukti telah melakukan penghinaan terhadap mana-mana kerabat diraja,” kata Wan Fayhsal.
Sebelum ini, polis dalam kenyataan mengumumkan berkata kertas siasatan telah lengkap dan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara semalam.
Menjawab permohonan Wan Fayhsal, Speaker Johari Abdul berkata perkara ini akan diteliti dan akan memberi maklum balas nanti.