
PETALING JAYA: Kerajaan membayar lebih RM2.5 juta pampasan kepada 150 pemohon yang mengalami kesan sampingan serius selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kementerian menerima 318 permohonan di bawah skim yang menyediakan bantuan kewangan khas kepada mereka yang mengalami kesan advers berikutan pelalian (AEFI).
“Daripada 318, sebanyak 150 permohonan diluluskan membabitkan bayaran RM2.55 juta,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Zaliha menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai jumlah laporan AEFI yang diterima kementerian dan jumlah pampasan kepada pengadu setakat ini.
Daripada 72.6 juta dos vaksin yang diberikan di seluruh negara, kata Zaliha, kementerian menerima 26,716 laporan AEFI.
“Kadar laporan AEFI adalah sama 368 laporan untuk setiap satu juta dos yang diberikan,” katanya.
Katanya, 93% kes AEFI adalah tidak serius dengan penerima vaksin sembuh selepas beberapa hari tanpa memerlukan rawatan.
“Sementara itu, daripada 26,716 laporan AEFI diterima, hanya 1,869 laporan (atau tujuh untuk setiap satu juta dos) diklasifikasikan sebagai serius,” katanya.