
KUALA LUMPUR: Umno perlu mempertahankan kerajaan perpaduan bagi memulihkan keyakinan kepada parti itu, susulan keputusan menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan kemelut politik.
Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata Umno tidak boleh mensia-siakan peluang ini kerana tiada siapa lagi akan percaya percaya kepadanya jika kerajaan perpaduan gagal.
“Bayangkan implikasinya kepada Umno jika kita mensia-siakan peluang ini. Jika kita tidak berprestasi, dan jika kita pula yang menjadi masalah kepada kerajaan perpaduan,” soalnya kepada perwakilan ketika merasmikan perhimpunan agung Wanita, Pemuda, dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.
“Siapa lagi yang akan percaya kepada Umno selepas ini, jika kita gagal menjayakan kerajaan ini. Kita bukan sahaja akan mengecewakan kepercayaan raja yang kita kasihi. Kita juga akan menjadikan rakyat lebih muak dengan drama politik kita.”
Katanya, Umno akan dihukum pengundi dan tidak akan bangkit semula jika peluang yang diberi kali ini disia-siakan.
“Kita tidak punyai pilihan. Prestasi kita dalam kerajaan akan menentukan sama ada kita boleh dipercayai ataupun tidak dalam PRU akan datang,” tegasnya.
“Sudah semestinya menjayakan kerajaan ini sangat penting kepada Umno kerana kita mesti melakukan perkara yang betul untuk tanahair.”
Beliau mengingatkan para perwakilan bahawa Umno pasca PRU15 perlu tampil sebagai parti yang berbeza dengan parti politik lain.
“Kita mesti menoktahkan segala kekeliruan dan bekerja seolah-olah ini kerajaan milik Umno dan dipimpin Umno sepenuhnya,” katanya.
Mohamad turut mengingatkan parti itu sudah tiba masanya Umno bergerak bangkit semula daripada kecederaan yang sangat parah.
“Saya mohon kita membelakangkan segala perbezaan. Mengenepikan segala emosi dan memperbaharui setiakawan kita demi Umno. Demi Malaysia. Demi bangsa Melayu.”
“Masakan kita ingin terus menelanjangkan Umno setelah begitu dahsyat hukuman terhadap Umno dalam dua PRU lepas. Ketepikan apa jua kemarahan, dendam, luka, dan nestapa.
“Jangan musnahkan Umno dengan amarah, dan dendam kesumat kita, hanya kerana cita-cita peribadi terkandas. Segala sindir menyindir di media umum wajar dihentikan,” katanya.