
KUALA LUMPUR: Umno perlukan suatu blueprint baharu agenda Melayu yang lebih tuntas dan seiring zaman, untuk kelangsungan parti itu, kata Timbalan Presiden Mohamad Hasan kepada Wanita, Pemuda, dan Puteri parti itu malam tadi.
Jika Umno mahu meyakinkan masyarakat Melayu bahawa ia mempunyai rencana yang jelas untuk mereka, kata Mohamad, ia perlu mulakan langkah berani dan tegas dengan suatu rangka tindakan agenda Melayu yang moden dan maju.
“Umno nampaknya belum berjaya menampilkan agenda yang lebih progresif untuk bangsa Melayu. Empat tahun terbiar begitu sahaja, setelah dihambat pelbagai kemelut politik tanahair,” katanya kepada merasmikan perhimpunan agung sayap parti itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Mohamad berkata rangka tindakan itu harus menunjukkan Umno sedar masalah yang melingkari masyarakat Melayu, serta memaparkan strategi dan rancangan jangka panjang untuk mereka.
“Hanya dengan sedemikian, kita dapat membezakan diri kita daripada mereka yang menunggang agama dan bangsa,” tegas Mohamad.
“Yang wujud hanya sekadar bermain sentimen agama, dan perkauman yang sempit, demi kelangsungan politik.”
Mohamad mengajak ahli Umno bermuhasabah, dengan berkata parti itu seolah hilang fokus kepada kesusutan dan kesengsaraan yang dilalui masyarakat Melayu.
“Kita juga gagal menampilkan penyelesaian yang bernas untuk mereka,” kata beliau.
Mohamad berkata masyarakat Melayu mahu tahu apa sebenarnya rencana Umno untuk mereka, dari segi ekonomi, pendidikan, dan sosial yang masih lagi dikatakan tidak menunjukkan kemajuan yang ketara.
“Umno mesti ada jawapan untuk semua ini dan jawapan Umno tidak boleh ‘piecemeal’, juga secara ‘ad hoc’.”
Beliau berkata Umno mesti melibatkan pemikir terbaik negara untuk membantu usaha menghasilkan rangka tindakan agenda Melayu baharu itu.
“Jangan asyik dengan pelbagai konvensyen politik, tetapi lohong dalam kandungan dan intipati. Yang akhirnya, menyaksikan kita mendengar syarahan daripada tokoh yang sama, manakala kita pula bercakap antara sesama kita sahaja,”katanya.