
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditegur Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul apabila membuat andaian bahawa keputusan beliau menolak usul membincangkan isu kapal tempur pesisir (LCS) hanya disebabkan ia bukan keperluan mendesak.
Johari berkata, Syed Saddiq berlaku tidak adil terhadap dirinya kerana beliau sudah menerangkan dalam surat jawapan bahawa usul itu ditolak kerana tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.
Katanya, dalam surat itu beliau dimaklumkan Kementerian Pertahanan perlu menghantar laporan kemajuan projek LCS setiap tiga bulan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sehingga ia disiapkan.
“PAC juga telah melawat Lumut (lokasi LCS dipasang) untuk membuat siasatan lanjut.
“Apabila PAC dah buat keputusan, kita nak bincang apa lagi? Tunggulah laporan PAC. Selepas itu, kita akan bincang dan saya akan benarkan,” katanya.
Jelas Johari, beliau hanya melaksanakan apa yang terkandung dalam “standing order” (Peraturan Mesyuarat) termasuk Perlembagaan.
“Jadi adalah tidak adil untuk Muar atau orang lain untuk mengkritik saya. Nak bergaduh sesama kamu silakan. Saya tak kisah. Tetapi jangan serang Speaker,” katanya.
Johari kemudiannya mengarahkan Syed Saddiq membetulkan kenyataannya di dewan.
“Jangan berlaku tidak adil (pada saya). Kalau nak bermain politik, mainlah tetapi jangan main politik dengan saya kerana saya bukan ahli politik. Saya adalah Speaker Dewan Rakyat,” katanya.
Projek LCS adalah perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Malaysia dengan kos keseluruhan RM9 billion.
Projek itu mendapat perhatian banyak pihak pada tahun lalu selepas PAC mendedahkan tiada satu pun kapal disiapkan walaupun kerajaan sudah membelanjakan RM6.08 bilion.
Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) memperoleh projek LCS secara rundingan terus.