
PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki tempatan disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah bersama 4kg ganja, menggunakan perkhidmatan teksi, e-panggilan dan pengangkutan awam, menerusi dua serbuan berasingan di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menahan suspek pertama berusia 41 tahun yang memandu sebuah teksi, dipercayai bertindak sebagai ‘penghantar’ di sekitar Kelana Jaya pada 10.10 malam.
“Pemeriksaan lanjut menemui satu beg mengandungi tiga ketulan mampat daun kering disyaki ganja, dibalut dengan kertas kuning keemasan dan satu ketulan mampat daun kering dibalut dengan kertas berwarna biru.
“Hasil tangkapan dan soal siasat suspek pertama membawa kepada penahanan suspek kedua, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun di sekitar Kota Damansara yang dipercayai dalang pengedaran dadah terbabit,” katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek membawa dadah terbabit, selepas mendapat pesanan dan akan dijual semula dalam jumlah tertentu kepada pengedar lain.
“Modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan perkhidmatan teksi, e-panggilan dan pengangkutan awam untuk membuat penghantaran dadah, dengan kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM12,455 dan mampu digunakan oleh 4,018 pengguna,” katanya.
Fakhrudin berkata suspek pertama didapati terlibat aktiviti pengedaran dadah kira-kira tiga bulan di sekitar Kelana Jaya dan Puchong, manakala suspek kedua pula aktif sejak dua bulan lepas di Kepong, Selayang dan Petaling Jaya.
“Suspek pertama mempunyai lima rekod jenayah dan enam rekod dadah, manakala suspek kedua tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan mereka direman selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 Jun ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.