
KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim hadir mengetuai parti komponen kerajaan perpaduan pada perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pagi ini, selepas 25 tahun dipecat daripada parti itu.
Hadir sebagai tetamu kehormat, perdana menteri yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) segak berbaju Melayu biru muda, disambut Presiden Umno Zahid Hamidi yang juga timbalannya serta kepimpinan tertinggi parti.
Turut hadir dalam perhimpunan terbesar parti Melayu itu adalah pemimpin kanan parti sekutu antaranya Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof (GPS), Loke Siew Fook (DAP), Mohamad Sabu (Amanah), Shafie Apdal (Warisan) serta wakil parti komponen BN, Wee Ka Siong (MCA) dan SA Vigneswaran (MIC).
Anwar tiba kira-kira 9 pagi selepas upacara menaikkan bendera Umno “Sang Saka Bangsa”, kemudian menyertai ribuan perwakilan di Dewan Merdeka, untuk mendengar ucapan dasar presiden Umno.
Kali terakhir Anwar berucap di pentas PAU pada 1998 sebagai timbalan presiden Umno, sebelum dipecat parti itu.
Beliau yang turut dipecat sebagai timbalan perdana menteri kemudian dipenjarakan atas tuduhan yang menurutnya percubaan bermotifkan politik untuk mematikan kerjaya dan pengaruhnya.
Penampilan Anwar yang mempunyai “DNA” Umno di gelanggang PAU kali ini sudah pasti mencuri tumpuan semua khususnya akar umbi Umno yang “berat hati” dengan kerjasama parti itu dalam kerajaan perpaduan.
Pada PAU 2022 Januari lalu, Umno tidak menjemput pemimpin parti sekutu.
Umno yang mengetuai BN menjadi sebahagian kerajaan pusat bersama PH, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan beberapa parti kecil lain selepas PRU15, November lalu.