
KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim kelihatan tidak kekok sama sekali di pentas perhimpunan agung Umno 2023, di hadapan ribuan perwakilan yang seakan ‘gelombang merah’, selaku presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan.
Anwar yang menggayakan pakaian Melayu tradisional warna biru, tampak sedia dan sudi menyanyikan lagu Umno – parti yang ditinggalkannya 25 tahun lalu – bersama pimpinan parti itu sambil mengibar bendera kecil Sang Saka Bangsa.
Kali terakhir beliau di pentas sama ialah pada Jun 1998 selaku timbalan presiden Umno, sebelum dipecat tiga bulan kemudian.
“Sudah tentu saya masih ingat lagu itu. Saya selesa, senang, dan biasa dengan suasana itu,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Anwar menyertai bekas-bekas rakan separtinya untuk mendengar ucapan dasar Presiden Zahid Hamidi.
Beliau memberitahu pemberita dia menghadiri persidangan kali ini atas semangat ‘kerajaan perpaduan’.
Zahid menyatakan terima kasih atas kesudian Anwar menghadiri majlis penting hari ini, di sebalik cerita bahawa akar umbi Umno belum selesa sepenuhnya dengan kerjasama dengan PH, khususnya DAP.
“Berabad lama kita terpisah kerana aturan Allah, hari ini kita berbaju merah mungkin Anwar juga rindu nak berbaju merah,” katanya sambil disahut sorakan perwakilan.