
KUALA LUMPUR: Bekas menteri besar Perlis Azlan Man akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan terhadap pertuduhan tuntutan palsu dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
Peguam Burhanudeen Abdul Wahid, yang mewakili Azlan memaklumkan Mahkamah Sesyen pada pengurusan kes hari ini.
Beliau berkata, pihak pembelaan belum menerima dokumen perbicaraan daripada pihak pendakwaan.
“Saya perlu meneliti dokumen ini dan mendapatkan arahan lanjut,” katanya.
Hakim Azura Alwi menetapkan 8 Sept untuk sebutan seterusnya.
Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim hadir untuk pendakwaan.
Terdahulu, Azlan mengekalkan pengakuan “tidak bersalah” terhadap semua lima pertuduhan tuntutan palsu yang dihadapkan bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Pertuduhan dipindahkan dari Mahkamah Sesyen di Kangar, Perlis, ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bulan lalu.
Azlan didakwa mengemukakan tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017.
Jika didapati bersalah, Azlan berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan.
Azlan turut didakwa dengan lima lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.06 juta, yang didakwa diterimanya daripada dua syarikat pelancongan antara 2014 dan 2017.