
KUALA LUMPUR: DAP tidak mahu bersifat angkuh ketika memasuki gelanggang PRN enam negeri, kata Setiausaha Agung Loke Siew Fook susulan kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil yang kekal dengan pendirian enggan menyokong calon parti itu.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, walaupun DAP sudah bertapak lama dalam arena politik negara dan mempunyai jenteranya sendiri, kerjasama dan sokongan parti sekutu dalam kerajaan perpaduan amat penting untuk mencipta kejayaan besar.
DAP, parti komponen Pakatan Harapan (PH) kini mempunyai 40 wakil rakyat di Putrajaya.
“Saya tak mahu bercakap angkuh, soal kita tak mahu kekuatan parti lain… tidak sama sekali.
“DAP parti yang telah lama dan sejak dulu lagi kita bertanding secara bersendirian. Kita sudah tentu ada persediaan kita sendiri namun dalam semangat kerajaan perpaduan kita menggabungkan kekuatan semua untuk memenangi PRN,” katanya.
“Jadi kemenangan calon DAP adalah kemenangan untuk kerajaan perpaduan,” tegasnya selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Terdahulu, Isham dalam satu rakaman video di Facebook berkata, DAP mampu menjaga “dirinya sendiri di kawasan yang ditandingi” memandangkan mereka mempunyai sokongan pengundi Cina yang kuat.
“Jadi, kita tak perlu risau mengenai mereka, mereka boleh menang tanpa sokongan Umno,” katanya.
Isham sebelum ini memberi amaran bahawa sokongan kepada parti itu akan terhakis jika pemimpinnya terus membuat desakan melampau mahukan ahli parti menyokong calon DAP pada PRN kelak.
Mengulas seruan Pemuda Umno yang meminta DAP memohon maaf kepada parti itu, Siew Fook berkata semua pihak perlu “move on” daripada sebarang permusuhan politik selama ini, dengan tidak lagi mengungkit kisah lampau.
“Kalau kita terus ungkit kisah lama, tidak ada kesudahan. Kita dah bentuk kerajaan lebih enam bulan, ‘move on’ lupakan kisah lama dan bersama demi negara. Sekarang dah tiada isu.”
Ketika menyampaikan ucapan dasarnya semalam, Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Saleh menuntut permohonan maaf daripada DAP selain meminta parti itu menarik balik segala tohmahan dilemparkan terhadap Umno yang sudah mengguris hati ahli sehingga kini.