
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menyatakan dengan jelas status kualiti sebenar pendidikan negara ketika ini memandangkan banyak rumusan prestasi pelajar yang dikeluarkan begitu mengelirukan.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM), Noor Azlan Ghazali, berkata di sebalik beberapa pencapaian membanggakan termasuk keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan semalam, ada juga beberapa perkara dilihat merunsingkan.
Katanya, kementerian mengesahkan kualiti negara setanding pentaksiran antarabangsa, namun pada masa sama dilaporkan terdapat 170,000 murid di akhir sekolah rendah masih tidak mahir membaca.
Katanya, laporan Jabatan Perangkaan turut menyebut terdapat sekitar 5.8% atau 1.9 juta rakyat tidak pernah bersekolah selain Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan hampir 50% atau 180,680 pelajar lepasan SPM 2021 tidak berminat menyambungkan pengajian.

“Secara umumnya keputusan SPM 2022 menunjukkan pencapaian pendidikan negara yang lebih baik. KPM turut mengesahkan kualiti sistem pendidikan negara adalah setanding dengan pentaksiran antarabangsa.
“Sebaliknya pula, di awal tahun 2023 Jabatan Perangkaan melaporkan 170,000 murid sekolah di akhir sekolah rendah tidak mahir membaca. Sekitar 5.8% (1.9 juta) rakyat Malaysia tidak pernah bersekolah.
“Rumusan yang berkecamuk di atas sangat mengelirukan. Di mana sebenarnya status kualiti pendidikan negara kita? Kita tidak boleh berterusan begini. Sekejap hebat, membanggakan dan menggembirakan dan sekejap risau, merunsingkan dan menggerunkan,” katanya di Facebook.
Azlan berkata, ia juga begitu mengelirukan di peringkat pengajian tinggi apabila kedudukan universiti dilaporkan meningkat namun rumusan diberikan oleh Laporan Bank Dunia “Aiming High” pada 2021 menunjukkan pencapaian pendidikan Malaysia agak terkebelakang berbanding negara maju.
“Namun, sudah berkali YB menteri KPT mengingatkan, ‘ranking’ bukan matlamat pengajian tinggi negara. IPT perlu mengembalikan keyakinan rakyat. Hasil kerja IPT mesti memberi impak kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Sejauh mana telah kita capai?
“Dalam konteks daya saing global, kita ketinggalan. Berdasarkan penarafan daya saing global oleh IMD, kualiti bakat negara saban tahun semakin merudum. Pada tahun 2013, Malaysia berada pada tangga ke 14 terbaik di dunia. Terkini kita merudum jatuh ke tangga 36! Menggerunkan.
“Penyediaan bakat berkualiti antara perkara terpenting yang perlu kita pastikan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Kita harus sepakat di mana kita hari ini,” katanya.