
KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi mengingatkan ahli dan penyokong parti itu tidak terlalu apologetik dalam menyuarakan soal keindukan Islam, Melayu dan Bumiputera.
Zahid berkata, sejak Umno menyertai kerajaan perpaduan yang turut melibatkan Pakatan Harapan (PH), nilai Islam tetap menjadi agenda dalam pentadbiran di samping menghormati kebebasan penganut agama lain.
“Saya menyeru kepada seluruh rakan-rakan dalam Umno kita jangan merasa apologetik apabila menyuarakan soal-soal keindukan Islam, Melayu dan Bumiputera, kerana pada masa sama kita tidak pernah meminggirkan hak dan kepentingan kaum-kaum lain di negara ini.
“Malah usaha memperkasa dan menerapkan nilai-nilai Islam tetap menjadi agenda kita di dalam kerajaan hari ini di samping menghormati kebebasan penganut agama-agama lain.
“Kepada mereka yang memainkan naratif kononnya Islam terancam, apakah peruntukan yang diberikan oleh menteri kewangan sebanyak RM1.5 bilion kepada Jakim, yang disalurkan kepada pelbagai institusi Islam bermakna program pembangunan Islam dikesampingkan?
“Apakah peruntukan RM150 juta untuk pelaksanaan Dasar Tahfiz Negara bagi melahirkan lebih ramai generasi al-Quran, bukan merupakan usaha untuk membentuk negara, dengan para hufaz yang berketerampilan, sebagai pewaris kepimpinan negara suatu masa kelak?,” kata Zahid.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Zahid berkata, Umno juga terus membela nasib Melayu dan Bumiputera dalam kerajaan perpaduan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amanah kepada parti itu untuk menjayakan agenda tersebut.
“Sebagai wakil Umno yang dipertanggungjawabkan dalam kerajaan, saya bersama wakil kita dalam Kabinet serta barisan kepimpinan agensi yang dilantik, akan memastikan, agenda membangunkan umat Melayu terus diperkukuhkan lagi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata usaha Umno dan kerajaan membangunkan Melayu bukan retorik politik, tetapi penterjemahan kepada tuntutan Islam dan agenda Melayu sebenar.
Beliau turut menolak tuduhan konon Islam dan Melayu semakin terpinggir bawah pentadbiran kerajaan perpaduan.
“Kepada penunggang isu kaum dan agama, kita tanyakan di mana Islam dan Melayu makin terpinggir?
“Buat mereka yang terus mencari-cari isu pula, ungkapan “great minds discuss ideas, small minds gossip about each other” amat sesuai menggambarkan sikap mereka,” katanya.