
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer diminta untuk memberi penjelasan kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berhubung kenyataannya terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Rayer mengesahkan menerima surat daripada Johari susulan kenyataannya mengaitkan ketirisan yang dikatakan berlaku dalam perolehan ventilator ketika pandemik Covid-19 dengan tindakan Muhyiddin yang mengisytiharkan darurat.
Beliau juga diminta memberi penjelasan mengenai gesaannya agar gelaran “Tun” kepada Mahathir ditarik balik.
“Ada usul yang merujuk saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
“Satu usul dikemukakan untuk saya memberi penjelasan, dan selepas itu speaker akan membuat keputusan (sama ada merujuk saya ke jawatankuasa),” katanya kepada FMT.
Selasa lalu, Rayer mencadangkan supaya gelaran “Tun” kepada Mahathir ditarik balik ekoran kenyataannya yang didakwa berterusan menyerang institusi beraja di negara ini, ketika perbahasan Laporan Audit Negara 2021 di Dewan Rakyat.
Beliau juga mengaitkan Muhyiddin dengan ketirisan yang berlaku dalam perolehan ventilator ketika negara mengurus pandemik Covid-19, dengan alasan isu itu boleh dibahaskan sekiranya Parlimen tidak dibubarkan pada masa itu.
Susulan itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) menghantar usul mahu Rayer dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kepada pejabat speaker pada hari Rabu.