
PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi dan kawalan harga ayam dan telur mulai 1 Julai ini.
Menerusi satu kenyataan bersama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memaklumkan perdana menteri bersetuju dengan cadangan meneruskan subsidi kepada para penternak ayam dan juga pengeluar telur.
“Keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi ini diambil demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras dengan aspirasi kerajaan,” katanya.
Menteri MAFS Mohamad Sabu sebelum ini mengumumkan kerajaan tidak lagi memberi subsidi kepada penternak ayam selepas 30 Jun ini dan pengapungan harga bermula pada 1 Julai.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi jawapan lisan menjawab pertanyaan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung tempoh harga ayam dan telur akan diapung.
Beliau berkata, penamatan tersebut bagi membolehkan KPDN menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun, berbanding harga siling runcit ketika ini.
Tambahnya, antara yang dilaksanakan ialah memansuhkan sekatan eksport ayam pedaging hidup kecuali “Day Old Chick” (DOC), ayam bulat, dan keratan ayam sepenuhnya serta membenarkan pengimportan ayam dan telur dari pelbagai negara sumber yang diiktiraf.
Februari lalu, Mohamad berkata, subsidi bagi telur dan ayam akan diteruskan sehingga Jun ini dengan melibatkan kos sebanyak RM1.28 bilion.