
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Tapah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap lelaki yang tular mengasari pemandu wanita dalam kejadian di Lata Iskandar, Isnin lalu.
Tertuduh, Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dan mengugut pemandu terbabit, menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Amiera Atiqah Shahrizan, 24, di Lata Iskandar Kilometer 22 Jalan Tapah-Cameron Highlands pada 5 Jun lalu, 5.33 petang dengan kata ugutan “pecah muka kau sat lagi”.
Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan kedua pula, Zaim didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa di lokasi dan masa sama atas kesalahan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh hari bagi kedua-dua pertuduhan itu, namun mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J Geetha, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh memohon hukuman paling ringan memandangkan dia perlu menanggung isteri yang hamil lapan bulan dan anak berusia empat tahun dengan pendapatan bulanan RM4,000.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh disabitkan kedua-dua kesalahan berkenaan.