
PETALING JAYA: Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dilantik sebagai gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) bermula 1 Julai ini, umum BNM.
BNM dalam satu kenyataan berkata, Abdul Rasheed akan memegang jawatan itu selama lima tahun hingga 30 Jun 2028.
“Beliau akan mengambil alih jawatan gabenor daripada Nor Shamsiah Yunus yang akan menyempurnakan tempoh lima tahun perkhidmatannya pada 30 Jun ini,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rasheed berkata pelantikan itu adalah satu penghormatan pada dirinya dan beliau berazam untuk meneruskan usaha Shamsiah di BNM.
“Di bawah kepimpinan beliau, BNM terus memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan juga kewangan
meskipun melalui banyak tempoh yang mencabar termasuk krisis pandemik,” katanya.
Abdul Rasheed mula berkhidmat di BNM pada 1988 dan dilantik sebagai timbalan gabenor pada 2016. Beliau memperoleh ijazah
Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya sebelum melanjutkan pelajaran di Said Business School di Universiti Oxford.
Sepanjang kerjayanya, Abdul Rasheed pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan.