
PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mempertahankan kerajaan susulan kritikan berhubung berjuta-juta dos vaksin Covid-19 yang tamat tempoh selepas tidak digunakan.
Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata tidak adil untuk meletakkan kesalahan pada kerajaan sahaja kerana punca sebenar vaksin itu tidak digunakan adalah kurangnya kesedaran orang ramai untuk mendapatkan suntikan ‘booster’.
Beliau menjelaskan ketika proses pemerolehan vaksin, “kementerian kesihatan di setiap negara menyasarkan 90% hingga 100% kadar vaksinasi dan booster, tetapi permintaan untuk vaksin menurun menjelang program suntikan booster dilancarkan.
Ketika program vaksinasi terus berjalan, ekonomi mula dibuka dan kadar jangkitan Covid-19 menurun, dan ia secara langsung menjadi bukti vaksin bukan lagi syarat untuk pengembara antarabangsa.

“Atas sebab itu kemungkinan peratusan individu yang tidak mahu menerima vaksin pada awalnya akan terus berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan.
Muruga berkata kerajaan juga dipaksa untuk menandatangani perjanjian tanpa pendedahan (NDA) dengan syarikat pengeluar vaksin.
Sekiranya melanggar perjanjian itu, kata Muruga, kerajaan berdepan saman yang tinggi.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata hampir 3 juta dos vaksin Covid-19 tamat tempoh menjelang akhir Februari menyebabkan kerajaan rugi RM81.4 juta.
Katanya, 8 juta lagi dos dijangka tamat tempoh menjelang September tahun ini.
Sebagai respon, bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam mencadangkan 8 juta vaksin itu didermakan kepada negara lain.