
PETALING JAYA: Moratorium bagi kesalahan cubaan bunuh diri masih berkuat kuasa, kata Ramkarpal Singh, susulan susulan laporan bahawa seorang pelajar disiasat polis mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.
Dalam kenyataan, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) itu mengingatkan bahawa Jemaah Menteri pada 31 Mac telah bersetuju dengan pemansuhan seksyen berkenaan, yang menjadikan cubaan membunuh diri satu kesalahan.
Selain itu, katanya, Jemaah Menteri juga telah bersetuju moratorium dikuatkuasakan ke atas pelaksanaan seksyen tersebut sementara menunggu ia dimansuhkan melalui proses pindaan undang-undang sewajarnya, termasuk mendapat kelulusan dewan Parlimen serta perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan No 2) 2023 yang antara lain, bertujuan memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan telah pun diluluskan di Dewan Rakyat pada 22 Mei.
“Seterusnya, RUU ini perlu melalui proses pindaan undang-undang selanjutnya sebelum pemansuhan tersebut berkuatkuasa, ” kata Ramkarpal.
“Sehubungan itu, jelas bahawa suatu moratorium masih lagi berkuat kuasa ke atas pelaksanaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan tiada pendakwaan boleh dijalankan di bawah seksyen tersebut buat masa ini.”
Beliau berkata demikian mengulas laporan media berhubung pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang patah tulang belakang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah di Kajang semalam.
Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan mengklasifikasikan kes sebagai cubaan bunuh diri.
Dalam pada itu, Ramkarpal berkata, beliau difahamkan pelajar berkenaan tidak ditahan polis, sebaliknya dibawa terus ke hospital untuk rawatan lanjut.
Katanya, pendirian kerajaan teguh bahawa tiada lagi tempat untuk Seksyen 309 di negara ini, dan ia perlu dimansuhkan untuk mengubah pendekatan daripada bersifat punitif kepada yang bersifat pemulihan.