
PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi subsidi kepada pemilik rumah yang ingin memasang panel solar bagi menggalakkan penggunaan tenaga solar, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).
Presidennya, NK Tong, berkata sebarang langkah mewajibkan panel solar dipasang di rumah yang baru dibina mesti melibatkan pemberian insentif yang sesuai, termasuk subsidi.
Bulan lepas, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Abdul Rahman Junaidi, berkata negeri itu bercadang untuk mewajibkan panel solar, terutama untuk rumah di kawasan bandar.
Pindaan undang-undang sedang dipertimbangkan untuk melaksanakan keperluan itu, katanya menurut Borneo Post.
Bagaimanapun, Tong berkata Semenanjung Malaysia tidak mungkin mengambil langkah yang sama dalam masa terdekat kerana kos rumah yang lebih tinggi berbanding di Sabah dan Sarawak.
“Rakyat harus diberi pilihan sama ada mereka mahukan rumah dengan tenaga solar, dan sama ada mereka bersedia untuk membayar lebih untuk perkara itu”, katanya kepada FMT.
“Sekiranya kerajaan mahu bergerak ke depan menyesuaikan rumah baharu dengan panel solar, model yang diguna pakai oleh banyak kerajaan di seluruh dunia adalah untuk memberikan subsidi untuk memberi insentif kepada penggunaan,” tambahnya.
Presiden Persatuan Industri Photovoltaic Malaysia, Davis Chong, memberitahu FMT bahawa, jika diwajibkan, pemaju hartanah akan memerlukan bantuan dalam bentuk subsidi kerajaan.
“Kos permulaan yang tinggi boleh menjadi cabaran utama bagi sektor kediaman, jadi kerajaan boleh mempertimbangkan insentif seperti pelepasan cukai pendapatan peribadi, serta pinjaman tanpa faedah atau bersubsidi untuk pemilik rumah yang memasang sistem solar,” kata Davis.
Tiga syarikat yang pakar dalam pemasangan panel solar memberitahu FMT bahawa harga panel solar adalah antara RM16,000 untuk rumah teres hingga RM49,000 untuk banglo, bergantung kepada keperluan tenaga.
Pemilik rumah Annuar Zaini berkata panel itu merupakan pelaburan yang baik.
“Sebelum memasang panel solar, bil elektrik saya antara RM1,200 hingga RM1,600 sebulan. Kini, setelah mempunyai panel solar sejak tujuh bulan lalu, bil saya biasanya RM55 sebulan, tetapi tetapi pernah turun sehingga RM8,” kata Annuar, yang merupakan pengerusi UDA Holdings.
Sementara itu, Presiden Institut Arkitek Malaysia (PAM) Sarly Adre Sarkum berkata, dalam jangka masa panjang, panel solar akan membawa penjimatan untuk pemilik rumah melalui bil elektrik yang lebih rendah.
“Ini boleh memberi kesan positif kepada ekonomi rantau ini dengan memupuk pertumbuhan ekonomi tempatan, menjana kemungkinan pekerjaan dalam sektor solar, dan mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil yang diimport,” katanya.