
SHAH ALAM: Dana kerajaan lebih bermanfaat digunakan bagi membangunkan sekolah Tamil sedia ada berbanding menyelamatkan sekolah yang mempunyai kurang 15 murid, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, enggan mengambil “pendekatan populis” menyelamatkan sekolah kurang murid, Putrajaya perlu lebih realistik dalam strateginya melibatkan pembaikkan dan pembesaran sekolah Tamil.
“Jika (sekolah) hanya tinggal 10 ke 15 pelajar sahaja, sepatutnya ia tidak diteruskan. Sebaliknya, kita perlu bekerja keras meningkatkan sekolah berdekatan.
“Justeru, kita mesti mengadakan perbincangan sewajarnya dan menggunakan agihan kewangan lebih baik dan menaik taraf sekolah sedia ada. Jangan hanya sekadar pada nama, namun tiada apa di dalamnya,” kata Anwar pada forum pendidikan dan komuniti India.
Beliau juga memberi peringatan kepada rakyat agar tidak terperangkap dengan sentimen kaum dimainkan “pemimpin gagal” yang mempersoal bantuan kerajaan kepada bukan Melayu.
“Mereka kata saya hanya bantu orang India dan Cina tapi itu tidak benar. Saya tidak pernah potong belanjawan untuk orang Melayu,” katanya sambil menambah dakwaan perkauman merupakan fitnah yang boleh menyebabkan masyarakat berbalah.
Guna Sosma hanya untuk jenayah berat, kata ketua MIC
Presiden MIC S A Vigneswaran, berkata parti itu tidak menentang penggunaan undang-undang keselamatan seperti Sosma, namun berpandangan ia patut digunakan bagi melawan keganasan dan jenayah berat lain.
Beliau berkata, isu penahanan tanpa bicara menjadi kebimbangan masyarakat India.
“Gunalah akta itu berdasarkan tujuan asalnya iaitu memerangi keganasan melampau, dan bukan secara mudah menggunakannya dan membiarkan ia terbuka kepada kemungkinan salah guna,” kata Vigneswaran.
Disember lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution, berkata 624 orang ditahan di bawah Sosma tahun lalu, termasuk 247 Melayu, 83 Cina, dan 89 India.