
PETALING JAYA: Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber akan digubal segera dalam usaha negara menangani ancaman keselamatan siber yang semakin mencabar, kata Anwar Ibrahim.
Perdana menteri berkata mesyuarat jawatankuasa keselamatan siber negara juga memutuskan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) bawah Majlis Keselamatan Negara bertindak sebagai agensi utama untuk menggembleng usaha merentas pelbagai entiti kerajaan serta pihak industri berkait keselamatan siber.
“Entiti dalam eko-sistem siber akan terus mengekalkan kuasa yang membolehkan mereka melaksanakan fungsi masing-masing.
“Pada masa sama, fungsi tugas beberapa entiti teras berkaitan keselamatan siber akan diselaraskan bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan memaksimumkan kecekapan,” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata, RUU Keselamatan Siber itu akan memberi Nacsa punca kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkait keselamatan siber.
“Selain itu, menambah baik keberkesanan fungsi Nacsa sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Arahan MKN No 26 Pengurusan Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia,” katanya.