
PETALING JAYA: Rundingan sedang dijalankan dengan kerajaan persekutuan bagi mengambil alih MASwings sebagai syarikat penerbangan butik milik kerajaan Sarawak, kata Abang Johari Openg.
Premier Sarawak berkata secara prinsipnya kerajaan negeri sudah bersetuju untuk mengambil alih operasi MASwings yang beroperasi dalam negeri itu dan Sabah.
“Sudah ada perkembangan positif dalam rundingan untuk kita mengambil alih MASwings dan kami bersedia ke arah itu” katanya menurut Harian Metro selepas satu majlis di Kuching.
Abang Johari berkata, turut dirunding dengan kerajaan persekutuan ialah rancangan kerajaan Sarawak untuk “mengoperasikan syarikat penerbangan butik di luar Borneo”.
“Kita mahu syarikat penerbangan butik milik kerajaan Sarawak menyediakan perkhidmatan penerbangan antara wilayah kerana matlamat penubuhan syarikat itu adalah untuk menstabilkan harga tiket penerbangan antara Semenanjung dengan Borneo.
“Ketika ini MASwings tidak menyediakan penerbangan ke Kuala Lumpur atau Singapura sedangkan kita mahu menyediakan penerbangan dari Borneo ke wilayah Semenanjung,” katanya.
Syarikat berkenaan mengambil alih laluan yang dikendalikan oleh FlyAsianXpress dan penerbangan RAS oleh Malaysia Airlines pada 2007.
Pada 17 April lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan persekutuan bersetuju dengan permohonan kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri bagi menangani masalah kos tiket penerbangan tinggi antara Semenanjung ke Sarawak dan Sabah.