
PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan 10,000 permohonan kewarganegaraan dapat diselesaikan tahun ini, kata Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail.
Bercakap dalam Program KDN Madani di Sungai Petani semalam, katanya, sejumlah 8,288 permohonan diselesaikan setakat ini.
“Kita serahkan sijil kelahiran dan MyKad kepada 15 penerima hari ini (semalam),” katanya menurut Bernama.
Geran RM10,000 untuk persatuan penduduk
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, persatuan penduduk dan NGO terlibat dalam keselamatan komuniti boleh memohon Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) sebanyak RM10,000 bermula hari ini.
Katanya, permohonan geran itu boleh dilakukan menerusi sistem elektronik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (eROSES).
Beliau berkata, RM20 juta diperuntukkan bagi memperkasa peranan persatuan penduduk dan meningkatkan tahap keselamatan dalam komuniti serta penglibatan pertubuhan dalam hal ehwal keselamatan komuniti setempat.
“Peruntukan RM20 juta itu boleh memberi manfaat kepada 2,000 persatuan penduduk dengan setiap satunya layak menerima sehingga RM10,000.”