
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan komited menyelesaikan isu mendesak membabitkan sekolah di Sarawak yang akan dibincangkan dengan wakil kerajaan negeri itu pada 14 Julai depan.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata isu kekecewaan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Roland Sagah Wee Inn yang tidak dapat bertemu dengannya pada Mei lalu telah diselesaikan secara baik.
“Kita akan bertemu dan berbincang berkaitan isu dibangkitkan menteri (Roland) berkaitan pembangunan pendidikan di Sarawak.
“Maknanya ada komitmen untuk berjumpa dan perbincangan akan berlangsung dari semasa ke semasa,” katanya selepas majlis penutupan program pemerkasaan Bahasa Melayu untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina.
Pada 22 Mei lalu, Roland menyatakan rasa terkilan kerana permintaan bertemu Fadhlina bagi membincangkan isu mendesak melibatkan sekolah tidak dipenuhi.
Antara isu mendesak yang mahu dibangkitkan ialah kekosongan jawatan guru besar yang belum terisi di beberapa sekolah di daerah Daro, lantaran keperluan baharu yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan.
Prasyarat pelantikan bagi mengisi jawatan guru besar adalah pensijilan Kelayakan Professional Kebangsaan bagi Kepimpinan Eksekutif, yang dianugerahkan oleh Institut Aminuddin Baki.
Dalam pada itu, Fadhlina menolak dakwaan pihaknya menurunkan gred Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bagi “mencantikkan” keputusan untuk 2022.
“Kita harus berlaku adil, dalam konteks pemarkahan ia harus berdasarkan merit yang diguna pakai selama ini,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa puas hati terhadap peningkatan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan pelajar yang diterjemah melalui keputusan SPM 2022.